Kengkawan ( المرافقون )

Jumaat, 4 Disember 2009

KOMSAS cerpen BATU

Pendahuluan.

Subjek KOMSAS diperuntukkan 2 waktu dalam seminggu yang merangkumi genre sajak, puisi tradisional, cerpen, prosa tradisional, novel dan drama. Ini dapat mempelbagaikan Bahasa Melayu supaya sesi pengajarannya lebih terancang bagi sepanjang tahun persekolahan. Kesempurnaan aplikasi subjek ini dalam proses belajar dan mengajar menjadikan waktu Bahasa Melayu lebih menarik, bermanfaat dan lebih menyeronokkan para pelajar sekolah menengah. Teks sastera yang digunakan dapat menyuburkan daya penghayatan pelajar pada keindahan Bahasa Melayu dan juga menghiburkan hati. Di samping itu, ia dapat menanam serta menjadi amalan membaca walaupun selepas mereka meninggalkan bangku sekolah.

Insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipercayai akan dapat dicapai melalui pendidikan bahasa dan kesusasteraan. Menyedari hal ini, pada 22 Jun 1999 Menteri Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa semua pelajar sekolah menengah aliran Sastera, Sains, Teknik, Vokasional, dan Agama diwajibkan mempelajari Kesusasteraan Melayu dan Kesusasteraan Inggeris. Bagi memastikan semua pelajar sekolah menengah rendah dan atas mempelajari kesusasteraan, maka penggunaan karya sastera diwajibkan sebagai komponen dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.


Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana kedua-dua aspek ini lahir daripada sosio budaya masyarakatnya. Tumpuan kepada pembelajaran bahasa semata-mata tidak memadai kerana pelajar mungkin dapat menguasai bahasa dengan baik dari aspek tatabahasanya, tetapi dalam aspek keindahan bahasa, diksi, daya intelek, daya kreatif dan seumpamanya dapat dikuasai melalui ilmu sastera. Atas dasar itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah tidak memisahkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera. Hal ini harus disedari bukan sahaja oleh guru, tetapi juga oleh pelajar bagi mengikis sikap penguasaan ilmu bahasa dan sastera hanya untuk peperiksaan. Tetapi sebaliknya, penguasan ilmu bahasa dan sastera untuk membina dan meningkatkan jati diri pelajar. Hal ini jelas tergambar dalam matlamat pengajaran Komsas.

1. Ulas karya tersebut dengan memberikan sinopsis dan nyatakan LIMA pengajaran yang diperoleh berserta contoh yang tepat.
(15 markah)


BIODATA PENGARANG CERPEN 'BATU': RAHMAN SHAARI

RAHMAN SHAARI dilahirkan pada 5hb September 1949 di Kampong Gial, Mata Air, Perlis. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengahnya di negeri kelahirannya sendiri sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Alam Shah Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjong Malim. Rahman Shaari kini masih bertugas di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

1. Plot .
Plot yang diolah adalah berbentuk naratif tentang aksi yang diransangkan, melibatkan konflik atau persoalan yang akhirnya diselesaikan. Plot juga memaparkan bagaimana watak beraksi dan bertindakbalas. 'Batu' hasil buah tangan Rahman Shaari merupakan sebuah cerita pendek yang digarapkan dengan perencanaan yang rapi, mengandungi konflik serta penyelesaian yang mudah dan ringkas.Plot cerpen 'Batu' diadun dalam bentuk kronologi yakni urutan dan jalinan peristiwa yang membawa kepada sebab dan akibat tersusun mengikut urutan.

'Batu' juga tidak diajak bermain dengan teknik imbas muka atau imbas kembali (flashback) . Ianya berjalan seperti membilang 1,2,3,.... Urutan atau jalinan peristiwa-peristiwa dalam 'Batu' boleh diperlihatkan dalam bentuk mudah.
2. Tema

Cerpen 'Batu' nukilan Rahman Shaari memaparkan tema ' untuk mendapatkan kesenangan hidup dengan jalan yang mudah manusia sanggup menipu insan lain yang lurus dan berbudi bahasa'. Manusia yang sanggup menjadi penipu untuk mendapatkan wang secara mudah ditonjolkan oleh watak Mazlan. Manakala mangsanya ialah Iskandar, pemuda yang berbudi bahasa dan berhati luhur dan jujur.

Mazlan sanggup menipu Iskandar dengan menjual seketul batu yang dikatakan 'hikmat' padahal batu tersebut hanyalah batu biasa yang tidak mempunyai apa-apa kesaktian jauh sekali mampu memberi pertolongan kepada manusia. Hakikat hukum alam telah menyatakan bahawa setiap yang jahat dan buruk itu akhirnya akan terdedah juga kebusukkannya. Gambaran ini direalisasikan melalui watak Mazlan akhirnya menerima padah akibat dari niat jahatnya itu.

3. Sinopsis cerpen batu.
Cerpen ini dimulai dengan kisah Iskandar yang berhasrat untuk menemui rakan baiknya, Malik. Tanpa disangka Iskandar telah disapa oleh Mazlan yang ingin tahu di mana Jalan Raja Angkasa. Namun, Iskandar yang tidak begitu biasa tentang nama-nama jalan, tidak dapat membantu Mazlan.

Tiba-tiba muncul Zainol yang ingin tahu kenapa Mazlan begitu beriya-iya hendak pergi ke Jalan Raja Angkasa. Akhirnya, Mazlan menyatakan ingin menyampaikan sesuatu kepada seseorang di jalan tersebut. Sesuatu yang dimaksudkan ialah seketul batu putih berwarna kekuning-kuningan yang disimpan dalam saputangan.Zainol meminta Mazlan menjual batu itu kepadanya. Pada awalnya, Mazlan tidak bersetuju dan akhirnya Zainol berjaya mengajak Mazlan ke kedai kopi berdekatan untuk menerangkan keistimewaan batu tersebut.Di dalam kedai kopi itu, Mazlan, Zainol dan Iskandar berkenal-kenalan antara satu sama lain. Kemudian Mazlan meminta pinggan kosong daripada pelayan kedai dan menceritakan tentang dirinya yang memiliki tujuh ketul batu yang dinamakan batu gandapuri.

Menurut Mazlan lagi, enam batu telah dijual dan yang ada itu adalah batu terakhir. Batu tersebut boleh bergerak sendiri di dalam pinggan jika diperah dengan limau. Zainol dan Iskandar diminta mengambil air perahan limau itu agar dapat keberkatannya.Zainol tanpa putus asa, terus memujuk Mazlan agar menjual batu itu kepadanya. Beliau sanggup membayar lebih daripada orang di Jalan Raja Angkasa. Kemudian Zainol bergegas ke bank untuk mengeluarkan wang dan meminta Mazlan menunggu sehingga beliau datang kembali.Selepas Zainol pergi, Mazlan mencadangkan agar Iskandar membeli batu tersebut kerana tidak berminat menjual kepada Zainol. Alasannya Mazlan tidak menyenangi keperibadian Zainol dan bimbang jika Zainol menyalahguna akan keistimewaan batu tersebut.Iskandar pula ingin mengetahui kegunaan batu tersebut. Mazlan menerangkan batu istimewa itu boleh digunakan untuk memperoleh wang dengan mudah, dikasihani dan ditakuti orang lain serta mudah memikat perempuan lebih hebat daripada ilmu pengasih.
Dijelaskan juga batu itu boleh digunakan untuk temu duga dan mudah mendapat pekerjaan yang dipohon. Iskandar yang tidak berwang berharap akan dapat meminjam wang daripada kawannya, Malik yang sedang menunggu diJalan Melaka.Iskandar menceritakan kehebatan batu gandapuri itu kepada Malik. Malik pula menjelaskan pergerakan batu itu berpunca daripada tindak balas kimia apabila batu itu terkena air perahan limau itu. Iskandar mula sedar dan teringat kisah kawannya, Ku Ali yang telah ditipu.

Iskandar ingin bertindak dengan menyuruh Malik memanggil Abang Nordin di Restoran Heng Ah See. Kemudian, Iskandar terus berjumpa Mazlan dan minta bersabar menunggu rakannya yang pergi ke bank. Sementara menunggu, Mazlan telah mengajarkan mantera kepada Iskandar untuk dibacakan pada batu tersebut.Tidak lama kemudian, Malik datang bersama seorang pemuda yang tegap. Pemuda itu berpura-pura ingin membeli batu hikmat tersebut. Akhirnya pemuda tersebut menahan Mazlan dan menangkapnya atas kesalahan menipu. Rupa-rupanya pemuda itu ialah kawan Malik, iaitu Inspektor Hussin yang bertugas di balai polis Campbell.

4. LIMA pengajaran .

4.1 Nilai Budaya
Rahman Shaari dalam cerpennya 'Batu' banyak membicarakan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Cerpen ini memperlihatkan betapa orang-orang Melayu kaya dengan budi bahasa, bersopan santun, bantu-membantu atau menghormati orang tua. Kesemua sifat tersebut diterapkan ke dalam cerpen 'Batu' secara menggarapkan sikap Iskandar yang amat bersopan-santun serta lembut budi bahasa ketika berbicara , terutama dengan golongan tua.
Sebagai contoh perhatikan petikan berikut :
"Maaf pakcik, saya tak tau jalan tu. Saya ni tidak ambil pusing sangat tentang nama-nama jalan". Iskandar menerangkan sikapnya secara jujur.
(Lukisan Bernyawa, halaman : 44)

4.2 Peka dan Bertanggungjawab

Lumrahnya, setiap individu yang berfikiran positif dan rasional akan berusaha untuk membenteras gejala sosial yang seringkali mengganggu-gugat ketenteraman awam. Gambaran ini cuba diterapkan oleh pengarang dalam cerpen 'Batu' melalui watak Malik. Contohnya :

Selepas mendengar cerita Iskandar dan faham akan keadaan sebenar, Malik terus ke Balai Polis Campbell menemui sahabat lamanya Inspektor Hussin. Kemudian, dia bersama Inspektor Hussin dan beberapa orang anggota polis yang lain ke Kedai Makan Heng Ah See untuk memerangkap dan menangkap Mazlan. Diam-diam dalam hati, Iskandar mengakui kebijaksanaan Malik.
(Lukisan Bernyawa, halaman: 48)


4.3 Kepentingan Belajar dan Menuntut Ilmu

Menuntut ilmu adalah sebahagian daripada kewajipan manusia di alam maya ini. Ia penting untuk membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih sempurna. Di samping itu, ilmu yang dipelajari juga dapat membantu kita agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai akan sesuatu benda yang dikatakan ajaib atau berkuasa serta berhikmat. Nilai-nilai ini cuba diterapkan oleh Rahman Shaari melalui sikap Malik. Malik, bekas pelajar sains tingkatan enam Jalan Cheras tidak terpengaruh dan mempercayai 'kehikmatan' atau 'kekuasaan' batu gandapuri yang diceritakan oleh Iskandar kepadanya. Malahan, dengan pengetahuan yang ada dia berjaya meyakinkan Iskandar tentang fenomena sebenar.

Sebagai contohnya :
"Pergerakan itu merupakan suatu tindakan kimia. Air limau adalah asid, dan batu itu kemungkinannya suatu jenis karbonit. Yang menyebabkab pergerakkan itu mungkin gas yang keluar darinya, karbon dioksida," jelas Malik.
( Lukisan Bernyawa, halaman: 47)

4.4 Rutin Masyarakat Kota Yang Sentiasa Sibuk Tetapi Mudah Memaafkan.

Realiti kehidupan masyarakat kota jelas digambarkan oleh pengarang menggunakan sudut pandangan dramatik. Dengan menggunakan sudut pandangan ini, pengarang seolah-olah memberitahu khalayak akan fenomena yang berlaku dalam penghidupan sebenar masyarakat kota.

Sebagai contoh:
Orang-orang lain terus berlalu ke sana-sini. Setiap kaki lima dipenuhi manusia. Ada yang membelek-belek kain baju sambil kaki melangkah ke hadapan. Ada yang berjalan laju. Kadang-kadang terjadi perlanggaran semasa berjalan. Masing-masing mudah maaf-memaafi.
(Lukisan Bernyawa, halaman : 44 )

4.5 Berfikir Sebelum Bertindak
Penulis menggarapkan diri Iskandar sebagai seorang pemuda yang berfikiran rasional. Dia digambarkan tidak pernah mempersoalkan sesutau yang didengar, sebaliknya menjadi seorang pendengar yang baik.

Contohnya ;
Iskandar memikirkan betapa hebatnya batu itu. Dia tidak terus menyoal takut dianggap terlalu bodoh.
( Lukisan Bernyawa, halaman : 45)



5. Teknik pengajaran yang dipilih.

Teknik: Perbincangan atau Persidangan Meja Bulat

Teknik yang dicadangkan ini berpusatkan murid dan menggalakkan mereka menggunakan bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada murid dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas. Disamping itu, guru akan memantau serta membantu pelajar dalam memahami topik yang telah diberikan.

Melalui teknik ini satu perbincangan dilakukan secara berkumpulan. Kumpulan pelajar antara 5 hingga 7 orang dalam satu kumpulan. Mereka akan melantik seorang ketua kumpulan bagi mempengerusikan perbincangan tentang tajuk cerpen yang telah diberikan. Disamping itu, seorang pencatat dilantik untuk mencatat segala isi perbincangan atau pecahan topik dalam cerpen tersebut.

Dalam perbincangan ini, guru telah memberikan beberapa garis panduan tentang perkara yang akan dibincangkan. Tajuk cerpen Batu yang dijadikan tajuk pilihan. Guru akan mengarahkan pelajar menceritakan sinopsis cerpen Batu. Seterusnya pelajar akan berbincang tentang plot dan watak dalam cerpen Batu. Mengkaji secara kasar tentang watak dalam cerpen Batu. Ahli kumpulan akan membaca terlebih dahulu cerpen tersebut. Seterusnya pemahaman dan penghayatan cerpen Batu memberikan kemudahan untuk pelajar merungkai apa estetiknya cerpen Batu.

Setiap pelajar akan memainkan peranan sebagaimana dalam cerpen Batu. Segala persoalan dan idea yang dibincangkan akan dicatat. Bentuk persembahan yang dicadangkan ialah membina carta aliran yang menerangkan tentang watak dan plot dalam cerpen Batu. Masa yang diperuntukkan adalah antara 15 hingga 20 minit. Pelajar perlu membincangkan isi-isi penting dalam masa yang ditetapkan. Sepanjang perbincangan berjalan, guru akan memantau setiap kumpulan yang melakukan perbincangan. Di akhirnya, ketua dan perserta kumpulan akan ke depan bagi membentangkan hasil perbincangan tersebut.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...